----------------------------------------------------------------------
Maka seorang pun tiada tahu. Maka sembah Demang Lebar Daun. ‘Tuanku, ada patik menengar dahulukala singa yang demikian sifatnya. Baik tempat ini, kerana binatang gagah ada di dalamnya.’
Maka titah Sang Nila Utama pada Indera Bupala, ‘Pergilah tuan hamba kembali, katakan kepada bonda, bahwa kami tidaklah kembali; jikalau ada kasih bonda akan kita, berilah kita rakyat dan gajah kuda; kita hendak membuat negeri di Temasik ini.’Maka Indera Bupala pun kembali. Telah datang ke Bentan, maka ia pun masuk menghadap Permaisuri Iskandar Syah. Maka kata Sang Nila Utama itu semuanya dipersembahkan kepada Permaisuri.
Maka kata Permaisuri, ‘Baiklah; yang mana hendak anak kita itu tiada kita lalui.’
----------------------------------------------------------------------
|